16/05/2023
Assalamualaikum wbt
PERHATIAN IMAM MUHAMMAD RH KEPADA MURIDNYA
Imam Muhammad RH ialah seorang mujtahid dan salah seorang murid Imam A’zham RH. Beliau lahir di kota Wasith pada tahun 132 Hijriah (750 M) dan meninggal pada tahun 189 Hijriah (805 M) di kota Ray.
Imam Muhammad RH berusaha bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ilmu agama. Beliau memberikan segala bantuan jasmani dan rohani yang ada kepada pelajar yang menuntut ilmu. Salah seorang ahli fikah dari mazhab Maliki, Asad bin Furat RH, menceritakan,
“Aku pergi menemui Imam Muhammad RH untuk menimba ilmu dan membaca salah satu karya Imam Malik RH yang berjudul Al-Muwatta’.
‘Aku adalah seorang yang tinggal jauh dari kampung halaman. Aku masih kurang mendalami ilmu fikah. Kamu memiliki banyak pelajar, sedangkan aku hanya boleh mendapatkan sedikit ilmu daripadamu. Tunjukkanlah sebuah jalan kepadaku,’ kataku kepada Imam Muhammad RH.
“Pada siang hari, kamu boleh mendengarkan pelajaran bersama pelajar-pelajar yang lain. Aku akan meluangkan waktu hanya untukmu pada malam hari, dengan begitu, kau dapat mempelajari ilmu daripadaku,” kata Imam Muhammad RH.
Imam Muhammad RH menempatkanku di lantai bawah rumahnya. Pada malam hari, beliau mendatangiku dengan membawa segelas air dan mengajarkanku kitab. Malam pun makin larut, dan ketika aku mulai memejamkan mataku kerana mengantuk, beliau membangunkanku dengan memercikkan air daripada gelas itu ke wajahku. Kami terus melakukan hal ini sampai aku menyelesaikan ilmu-ilmu yang ingin aku pelajari daripadanya,” jelasku.
Suatu hari, ketika melihat diriku meminum air yang dibahagikan kepada orang-orang fakir, Imam Muhammad RH menanyakan sebabnya. “Semoga Allah SWT merahmatimu, aku pun termasuk dari golongan orang-orang yang tidak memiliki siapa pun dan tertinggal di jalan,” jawabku kepadanya.
Apabila malam tiba, seseorang mengetuk bilik tempatku tinggal. Ketika membuka pintu, aku melihat orang itu ialah pelayan Imam Muhammad RH.
“Ada salam daripada guruku untukmu. Dia tidak tahu keadaanmu semalam. Dia meminta kamu untuk mengambil ini dan menggunakannya sebagai nafkahmu,” tutur dirinya yang memberiku sebuah uncang wang yang berat.
“Dia pasti telah mengirimkan wang dirham (perak),” fikirku. Aku pun merasa senang. Setelah membuka uncang itu, aku melihat ada wang emas di dalamnya.
*Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah*