07/06/2026
Ujian Gaji Naik: Jerat 'Lifestyle Creep' Yang Membunuh Ketenangan Anak Muda
Bismillah. Saja nak sembang santai tentang satu realiti yang ramai anak muda kita tewas iaitu ujian bila pendapatan mula meningkat.
Dalam teori kewangan, ada satu istilah dipanggil Lifestyle Creep (Peningkatan Gaya Hidup). Situasi di mana bila pendapatan kita naik, secara tidak sedar standard gaya hidup kita pun ikut melonjak sekali. Contoh paling mudah:
Dulu gaji RM2,500, makan dekat kedai mamak atau warung tepi jalan dah cukup laku. Kereta pun pakai kereta biasa janji sampai tempat kerja. Tapi bila dapat surat kenaikan pangkat, gaji naik jadi RM3,000 (ada tambahan RM500), otak kita mula buat kerja gila.
Kita rasa kita dah 'naik taraf'. Cara pilih kedai makan dah berubah mesti nak ada aircond, ada menu hipster. Pakaian kena mula cari yang ada jenama. Malah, ada yang terus masuk showroom kereta semata-mata nak tukar ke kereta import yang bulanan RM1,800.
Kononnya, "Slip gaji dah kuat, apa salahnya self-reward."
Sedar tak sedar, disebabkan upgrade gaya hidup yang tak terkawal tu, komitmen bulanan kita bertambah RM2,000 ke RM3,000! Akhirnya, walaupun gaji dah makin besar, status poket kita hujung bulan tetap sama macam zaman gaji lama: POKAI dan SESAK. Mana perginya RM500 yang naik tadi? Hangus terbakar demi sebuah 'validasi' dan pandangan orang sekeliling.Kita takut orang pandang kita tak berjaya kalau kita kekal biasa.
Padahal, kawan-kawan sekadar memuji seminit dua, lepas tu masing-masing balik fikir masalah sendiri. Yang menanggung beban hutang kad kredit dan ansuran kereta setiap awal bulan ialah diri kita sendiri. Sebab itu, jom kita belajar daripada konsep 'Kekayaan Senyap'.
Bila rezeki kita bertambah, perkara pertama yang perlu di-upgrade bukanlah kereta atau pakaian, tetapi TABUNG ASET kita. Pemuda yang bijak akan pilih untuk kunci gaya hidup lama. Dia kekal pakai kenderaan sedia ada, kekal bersederhana. Lebihan RM500 atau RM1,000 daripada kenaikan gaji tu, dia potong siap-siap secara auto-debit masuk ke:
1. Simpanan tunai kecemasan.
2. Simpanan emas fizikal (kalis boros & inflasi).
3. Pelaburan aktif yang memberikan dividen konsisten.
Sabar sekejap, tahan telinga daripada usikan kawan-kawan selama 5 tahun sahaja.
Selepas 5 tahun, orang yang sibuk tayang kereta mewah dulu mungkin tengah pening kepala bergelut dengan kos penyelenggaraan dan hutang keliling pinggang. Tetapi pemuda yang sabar tadi, hari ini dia mampu duduk tersenyum tenang di atas sofa rumahnya bersama isteri tersayang.
Bila dia buka telefon, graf pelaburannya hijau menaik. Bila dia buka peti simpanan, ada emas 100 gram berkilau sebagai pelindung kekayaan. Rumahnya kemas, jiwanya lapang, hidupnya sederhana tetapi sangat diredhai dan tenang.
Keyakinan diri (self-confidence) yang sebenar tidak datang daripada logo pada stereng kereta. Ia datang daripada keteguhan dana kecemasan dan aset yang kita miliki dalam diam.
Anak-anak muda yang baru nak kenal dunia, beringatlah. Belajarlah erti realiti kekayaan sebenar. Biar hidup kita nampak biasa-biasa di mata manusia, asalkan dalam bank dan masa depan kita luar biasa.Sama-sama kita muhasabah diri.