08/07/2026
KISAH DI SEBALIK TIRAI EMAS
Tatkala mentari pagi menyinari bumi, aku membuka pintu kedai seperti hari-hari yang sebelumnya.
Aku tidak pernah tahu, di sebalik setiap langkah kaki yang singgah, ada cerita yang sedang disembunyikan oleh sebuah senyuman. Ada hati yang sedang kuat menahan gelora, ada jiwa yang sedang memujuk diri untuk menerima takdir.
Pada pagi itu, datang seorang ayah bersama anaknya.Di tangan mereka ada dua bentuk emas ,seutas gelang tangan dan sebentuk loket yang ingin diperiksa. Aku menyambutnya seperti biasa, memegangnya dengan penuh cermat. Bagiku, ia hanyalah seutas emas yang perlu dinilai.
Namun aku lupa…
Setiap emas yang datang ke tangan manusia, kadangkala membawa bersamanya sebuah kisah.
Anaknya berkata emas itu pernah di tanya nilainya di pajak. Namun ,nilai yang diberi tidak mampu menampung beban yang ditanggung.
Aku hanya mengangguk perlahan.
"Kalau sudah pernah ditanya dipajak, insyaAllah memang emas," kataku sambil cuba menenangkan urusan.
Berat dan nilainya diberitahu. Mereka berlalu pulang untuk berbincang dengan si ibu yang waktu itu tidak bersama mereka.
Seusai menjelang petang, mereka kembali.
Kali ini bersama seorang wanita.
Seorang isteri.
Seorang ibu.
Tatkala mataku memandang wajahnya, aku terlihat sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Wajahnya tidak banyak bicara.
Namun matanya seperti menyimpan seribu cerita.
Lesu.
Diam.
Dan seakan-akan sedang memeluk sebuah kesedihan yang tidak mampu diluahkan.
Aku teruskan urusan seperti biasa. Aku tidak bertanya lebih daripada yang perlu, kerana aku tahu… ada cerita manusia yang bukan untuk diceritakan kepada dunia.
Selesai urusan pembayaran, aku melihat dia.
Mengetap bibir sehingga menampakkan getaran dibibir.
Mengalir juga air mata membasahi p**i . Laju membasahi tudung hitamnya.
Mengesat air mata yang jatuh dari kaca matanya.
Dia tidak memandang wajahku.
Pandangannya jauh.
Seolah-olah fikirannya sedang kembali kepada sesuatu yang hanya dia seorang tahu.
Lalu keluar sebuah kata yang perlahan, tetapi cukup untuk menghentikan langkah hatiku.
"Kalau bukan sebab anak… tak adalah saya jual emas ni."
Saat itu…
Aku terasa dunia seakan diam seketika.
Bukan kerana nilai emas yang berada di tangan.
Tetapi kerana aku terbayangkan perjalanan emas itu sebelum sampai kepadaku.
Mungkin pernah dibeli dengan penat lelah.
Mungkin pernah disimpan dengan penuh kasih.
Mungkin pernah menjadi lambang sebuah kenangan.
Namun hari itu, ia terpaksa dilepaskan.
Aku menarik nafas panjang.
Bibir aku ketap menahan sebak.
Air mata yang cuba disimpan tetap jatuh perlahan.
Bukan kerana aku kehilangan sesuatu.
Tetapi kerana aku melihat seorang ibu yang sedang mengorbankan sesuatu.
Seorang suami yang cuba berdiri kuat di sisi isterinya dengan mata berkaca menahan pilu didada.
Tangannya memegang bahu wanita itu, seolah-olah mahu berkata tanpa suara…
"Aku ada di sini."
Mata mereka sama-sama berkaca.
Aku tidak tahu apa ujian yang sedang mereka hadapi.
Dan aku tidak perlu tahu.
Kerana setiap manusia punya rahsia yang hanya Allah dan dirinya sendiri memahami.
Aku hanya memegang emas itu lama.
Aku merenungnya.
Dan pada hari itu, aku sedar…
Emas bukan sekadar tentang gram dan harga.
Ada emas yang membawa bahagia.
Ada emas yang menjadi hadiah.
Dan ada emas yang menjadi saksi kepada sebuah pengorbanan.
Tatkala seseorang meletakkan emas di atas meja untuk dijual, jangan hanya melihat kilauannya.
Kerana mungkin di sebalik kilauan itu…
Ada air mata yang pernah jatuh.
Ada doa yang pernah dipanjatkan.
Ada hati yang sedang belajar menerima kehilangan.
Kerana di sebalik setiap emas, tersimpan sebuah cerita.
Semoga Allah permudahkan urusan mereka, menjaga hati ibu itu, dan menggantikan setiap kehilangan dengan sesuatu yang lebih baik..
Amminn..
Kareem Chambell Kareem Chambell