20/10/2026
📢 OPERASI PEMASANGAN BANNER ADUAN SEMAK SAMUN
Seremban, 14 Oktober 2026 - Tn.Ir.Ts.Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengetuai operasi pemasangan banner aduan semak samun dalam kawasan Pentadbiran MBS. Operasi ini adalah sebagai salah satu usaha terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi notis pembersihan yang dikeluarkan. Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Tuanku Jaafar, Taman Bukit Setia, Taman Rasah Jaya dan Taman Bukit Kaya.
Operasi pemasangan banner arahan pembersihan ini dilaksanakan bagi rumah-rumah persendirian yang telah bersemak samun. Banner ini dipasang kerana pemilik telah ingkar notis yang telah dikeluarkan oleh MBS sebelum ini.
Majlis Bandaraya Seremban ingin mengingatkan semua pemilik rumah supaya sentiasa memastikan kediaman dan kawasan tanah masing-masing berada dalam keadaan bersih, terurus dan bebas daripada semak samun.
Setiap pemilik rumah atau tanah adalahbertanggungjawab untuk memastikan harta yang dimiliki tidak menjadi punca kacau ganggu atau mendatangkan bahaya kepada masyarakat sekeliling.
Rumah yang dibiarkan terbiar tanpa penyelenggaraan boleh mengundang pelbagai masalah, antaranya menjadi tempat pembiakan nyamuk, kehadiran haiwan berbisa serta menimbulkan risiko keselamatan dan kacau ganggu kepada jiran-jiran berhampiran.
Untuk makluman, sepanjang tahun 2026, MBS telah menerima sebanyak 788 aduan berkaitan masalah semak samun. Sebanyak 552 notis telah dikeluarkan, dan daripada jumlah tersebut, 194 pemilik telah mematuhi notis yang dikeluarkan. Pada tahun ini juga MBS telah menggantung 124 banner.
MBS merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pemilik yang telah memberikan kerjasama serta mengambil tindakan membersihkan kawasan masing-masing.
MBS boleh mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 74 dan Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), tertakluk kepada jenis kesalahan dan syarat perundangan yang berkaitan.
Oleh itu, MBS menyeru semua pemilik rumah, termasuk rumah yang tidak diduduki, supaya mengambil tindakan pembersihan dan penyelenggaraan secara berkala.
Jangan tunggu sehingga notis dikeluarkan atau tindakan penguatkuasaan diambil.
Jagalah kebersihan rumah kita, hormatilah keselesaan jiran dan bersama-sama kita pastikan kawasan perumahan di Seremban sentiasa bersih, selamat dan harmoni.
Majlis Bandaraya Seremban komited untuk memastikan persekitaran bandar yang bersih, selesa dan selamat untuk semua. Turut hadir , Puan Nor Mursydah Binti Chik, Pengarah Pengurusan Kualiti & Strategik MBS dan Encik Muhammad Shahidan Bin Rahim, Timbalan Pengarah Kesihatan Persekitaran MBS.